Jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka bermula 12 Julai itu digunakan sepenuhnya oleh Perak bagi membawa masuk pemain pertahanan import, Jesper Gunnar Fernando Nyholm.

Perkembangan terbaharu mengenai kehadiran pemain berusia 29 tahun itu disahkan Perak menerusi video pengenalan pemain di laman Youtube TBG TV.

Jesper Nyholm merupakan pemain kelahiran Sweden yang mewakili skuad kebangsaan Filipina kerana ibunya mempunyai darah negara Asia Tenggara (ASEAN) tersebut.

Beliau mempunyai pengalaman beraksi di pentas bola sepak ASEAN kerana mewakili Muangthong United dalam kancah Liga T1 pada musim 2022-23.

Sebelum itu beliau beraksi di Sweden dengan menyarung kelab liga utama Sweden, AIK Fotboll dan beberapa kelab tempatan seperti Sirius, Gamla Upsala, Dalkurd dan Djurgarden.

Kehadiran Nyholm ini diharapkan mampu membantu ketua jurulatih, Yusri Che Lah dalam menambah kekuatan di jentera pertahanan selepas gawang pasukan dibolosi sebanyak 34 gol.

Keadaan itu disulitkan lagi dengan skuad kendaliannya pada ketika ini hanya berada di kelompok bawahan liga.

Selepas mengharungi 15 perlawanan Liga Super Malaysia 2023, Perak menghuni tangga ke-11 dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.

Malah, Perak turut tewas pada tiga perlawanan di bawah kendalian Yusri selepas beliau diberikan tanggungjawab untuk membimbing pasukan bermula 25 Mei selepas pengendali terdahulu, Datuk Lim Teong Kim dipecat.

Difahamkan akan ada lagi pengumuman rasmi dibuat oleh pasukan Perak melibatkan kehadiran pemain import serta tempatan baharu.

 

Sumber